Ramai yang menyangka wanita Islam terkongkong. Di sebalik hijab
yang disarung, mereka dilihat terikat dengan segala hukum. Hukum yang
membataskan pergerakan, kebebasan, malah kepakaran. Untuk menjernihkan imej
wanita Islam yang sering disalah ertikan baik oleh bukan Muslim mahupun Muslim
sendiri, mari kita semak dalil-dalil mengenai wanita dari sumber-sumber Islam
iaitu Al Quran, Hadis Sahih dan pendapat ulama’ masa kini.
Sebenarnya, Islam tidak
pernah mensinonimkan wanita dengan lemah. Tidak pernah meng-kelaskedua-kan
wanita. Namun, kita sering mendengar, ‘wanita itu lemah’, ‘wanita itu kurang
akal’, ‘wanita itu emosi’ ‘wanita itu fitnah dan aurat’. Lebih malang lagi,
orang-orang yang menyandarkan diri kepada agama lah yang menyebarkan kan
perkara sebegini.
Lalu masyarakat termakan
dengan penyebaran sesuatu yang tidak ada sumbernya, maka lahirlah definisi
wanita solehah itu adalah wanita yang hanya berada di rumah, tidak bergerak
bebas, mempunyai sifat malu yang tinggi, suara yang perlahan, berjalan lemah
lembut dan segala karakter-karakter yang tidak membina.
Padahal dalam Islam,
wanita yang solehah ialah wanita yang berani, tegas, berkeyakinan, mempunyai
kepakaran, mampu mendepani cabaran dan teguh berprinsip menyebarkan Islam. Peribadi
yang membina sebegini jarang disandarkan kepada wanita Islam. Oleh itu, mari
kita strukturkan kembali imej wanita Islam sebagai wanita yang hebat. Bukan sebarangan
mengubah adat, tetapi berdasarkan dalil yang sahih dan tepat.
Dalam dunia hari ini,
ada berbagai pendapat mengenai wanita sebagai pemimpin. Ada sebahagian ulama
bersetuju wanita sebagai pemimpin, namun ada sebahagian yang menyangkal wanita
boleh dijadikan sebagai pemimpin berdasarkan dalil masing-masing. Namun perbezaan
ini mestilah diseimbangkan dengan faktor tempat, masa dan pro and conts
yang Islam akan hadapi sekiranya sesuatu hukum itu digunapakai di sesuatu
tempat.
Al-Imam
Ibn Qayyim dalam karyanya yang terkenal I’lam al-Muwaqqi’in meletakkan satu bab
Taghaiyur
al-Fatwa wa Ikhtilafuha bi Hasbi Taghaiyur al-Azminah wa al-Amkinah wa al-Ahwal
wa al-Niyyat wa al-‘Awaid (Perubahan fatwa dan perbezaannya
berdasarkan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat).
Jika
kita lihat pada zaman sahabat, Saidatina Aishah tidak bersetuju dgn keputusan
politik Ali setelah kewafatan Uthman. Dan beliau telah keluar memimpin menjadi
ketua diikuti Talhah dan Zubair yakni sahabat-sahabat yang dijamin syurga.
Waktu itu tiada sahabat yang keluar membantah Aishah tidak boleh menjadi ketua hanya
kerana dia seorang perempuan. Bahkan sahabat mengikut di belakang Aishah
dan menjadikan Aishah ketua. Dari mana datangnya wanita Islam itu hanya berada
di ceruk dapur, sedangkan Ummul Mukminin (ibu orang-orang beriman) pun menjadi
ketua kepada sebuah rombongan politik? Malah Saidatina Khadijah, merupakan bussinesswoman
yang hebat, beliau sudah pasti wanita solehah yang dicintai Nabi, tetapi
beliau bukanlah lemah dan tidak ada keyakinan diri sepertimana gambaran yang
diberikan kepada wanita solehah.
Dengan menghormati
pandangan sebahagian mereka yang tidak membenarkan wanita menjadi pemimpin,
kita juga perlu melihat konteks dalil yang digunakan. Sebagai contoh, hadis Abu
Bakrah ini sering dijadikan sandaran.
حَدَّثَنَا
عُثْمَانُ بْنُ الْهَيْثَمِ حَدَّثَنَا عَوْفٌ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ
قَالَ لَقَدْ نَفَعَنِي اللَّهُ بِكَلِمَةٍ أَيَّامَ الْجَمَلِ لَمَّا بَلَغَ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ فَارِسًا مَلَّكُوا ابْنَةَ
كِسْرَى قَالَ لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً
Diriwayatkan
daripada al-Hasan daripada Abu Bakrah katanya: “Allah memberi satu faedah dan
pengajaran kepada saya apabila berlaku peperangan Jamal iaitu bila sampai
kepada Rasulullah orang-orang Parsi melantik anak perempuan Kisra sebagai raja.
Baginda bersabda: “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan
memegang urusan mereka”. (al-Bukhari, no: 7099)
Hadis ini sebenarnya
bukan bersifat umum. Ia merujuk kepada seorang perempuan (imro’ah) yang
mengetuai kerajaan Parsi yang tidak berjaya. Kaum yang dimaksudkan ialah kaum
Parsi yang berada di bawah pemerintahan wanita tersebut. Jika hadis ini
digunakan dengan maksud umum, dengan mengatakan semua wanita dan semua kaum,
maka ia bercanggah dengan sirah. Kerana Umar melantik Syifa’ binti Abdillah
untuk menguruskan pasar di Madinah bagaikan menteri perdagangan di Madinah. Dan
kisah Saidatina Aishah di atas juga menunjukkan perbezaan dengan hadis ini.
Malah al-Quran
juga menyebut dan memuji malakatu Saba’ yang disebut namanya sebagai Balqis
dalam buku-buku Israel. Balqis membuat keputusan untuk berdamai dengan Sulaiman
di saat pahlawan-pahlawan lelaki mencadangkan berperang dengan Sulaiman.
Keputusan Balqis nyata lebih tepat berbanding lelaki.
Bagaimana pula dengan ayat al Quran yang mengatakan lelaki ialah
pemimpin bagi wanita? Adakah ia terus menafikan hak wanita secara total untuk
menjadi pemimpin?
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena
Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki)
telah menafkahkan sebagian dari
harta mereka”. (Annisa’: 34)
Mengikut ath-Thabari dalam tafsirnya , kalimat Arrijalu qowwamu ala nisa’ bermaksud kaum laki-laki berfungsi untuk
mendidik membimbing istri-isteri mereka dalam melaksanakan kewajiban terhadap
Allah dan suami. Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas
sebagian yang lain (perempuan) adalah
sebagai taklif iaitu tanggungjawab, bukan sebagai tasyrif iaitu kemuliaan dan
kelebihan semata-mata.
Namun begitu, bukan semua lelaki boleh menjadi ‘qawwam’, Allah
telah meletakkan syarat dalam ayat tersebut bahawa lelaki telah menafkahkan
sebagian dari harta mereka yang akan menjadi pemimpin kepada wanita. Ini bermakna,
jika suami tidak memberi nafkah, maka gugurlah sifat ‘qawwam’ terhadap lelaki
tersebut.
“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau upah untuk bekerja
ialah orang yang Qawi (berkompetensi) dan Amin (bertintegriti)” [al-Qasas 28: 26]
Islam bercakap tentang
kepimpinan bukan soal gender, tetapi soal kemampuan. Dalam al Quran ditetapkan
kemampuan itu dengan 2 sifat iaitu kuat dan amanah. Itu asasnya, soal kemampuan
bukan soal gender. Tidak kira lelaki atau wanita, asalkan dia kuat dan amanah
maka boleh dia memimpin.
Pun, perbezaan fizikal
dan fitrah tetap berbeza dan membawa kepada berbeza peranan dan kemampuan. Ada
juga batasan2 nya. Janganlah kita perjuangkan hak wanita sehingga melupai
nilai2 kewanitaan dan identiti itu. Juga, kita bukanlah memaksa lelaki
melakukan sesuatu yang memerlukan nilai kewanitaan yang tinggi.
Wallahu a’lam
Noor Zahidah Myiddin
Sains dengan Pendidikan/03
Pengisian dari siri Kelas Tafaquh Fiddin 27 April 2012
No comments:
Post a Comment