Islam bersifat penuh cinta dan sayang. Cinta itu indah dan bahagia. Apa pun, cinta juga membawa derita dan airmata. Entah apa sebenarnya definisi cinta. Ia perkara ajaib dalam kehidupan. Yang jelas, ia menjadi buruan orang, sehingga ramai yang resah dan gelisah. Ada yang menjadi satu masalah yang tiada sudah. Ada yang menjadi sumber bahagia sampai akhirnya.
Demikian cinta diciptakan. Umumnya cantik dan teruja. Masakan Islam mengharamkan perkara seindah itu. Tidak mungkin Allah Yang Maha Penyayang menyeksa hambaNYA dengan melarang bercinta. Mustahil itu berlaku. Bahkan Islam lebih dahulu meraikan cinta. Ia lebih dari sebuah keseronokan sementara, tetapi dihiasi janji memperoleh syurga jika cinta dipelihara di jalanNYA.
Namun kecenderungan sekelompok golongan yang gemar mempamerkan Islam sebagai agama yang memusuhi cinta sehingga berlakunya salah tafsiran dalam kalangan non Muslim bahawa Islam agama keganasan, kekontangan nilai kemanusiaan, agama ritual semata-mata dan beberapa interpretasi yang salah. Menjadi tanggungjawab untuk kita murnikan kembali fahaman terhadap Islam bahawa Islam lah agama yang paling kedepan meraikan cinta. Sehingga pada hari kebangkitan, Islam menggariskan, insan itu akan berada bersama mereka yang dicintainya.
Pada suatu hari, orang Arab pedalaman bertanya kepada Nabi SAW tentang hari kiamat. “Bila datangnya hari kiamat?” dia bertanya. Lalu, baginda bertanya kembali, “Apa yang sudah kamu persiapkan untuk menyambut kedatangannya?” Lalu, orang tersebut berkata, “Tidak ada persiapan apa-apa, selain aku cinta Allah dan rasul-Nya.” Nabi SAW bersabda, “Anta ma`a man ahbabta (engkau bersama orang yang kamu cintai).” (HR Bukhari dari Anas).
Islam tidak pernah memusuhi cinta.
“Lalu, kenapa diharamkan Valentines Day? Bukankah hari itu buktinya kita meraikan cinta?”
Para ulama telah meletakkan beberapa sebab dan asas kepada pengharaman ini. Dan, perlu diingatkan pengharaman ini bukanlah menjadi dalil bahawa Islam memusuhi cinta. Malah menjadi bukti bahawa Islam meraikan cinta lebih dari sehari dalam setahun, tetapi setiap saat dibolehkan bercinta. Kenapa memilih 14 Februari sahaja? Bukankah cinta itu tidak perlukan limitasi dan spesifikasi kepada mana-mana hari?
Secara ringkasnya, V- Day tidak boleh diraikan oleh Muslim kerana :
Asal usul sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari dilihat bertentangan dengan Islam. Selain dari asalusul, cara dan kaedah implimentasnya juga mesti dilihat, jika secara adatnya ia disambut dengan dosa dan maksiat. Ia sekali lagi dilarang di atas dasar tersebut pula.
Selain itu, tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan. Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah Ijma’ (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama (atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722)
Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya. Ini dari firman Allah yang bererti :
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
“Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur’an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam” ( An-Nisa : 140 )
Di samping pendakwah menyebarkan pengharaman Valentine’s Day, perlulah diiring bersama hikmah bahawa Islam bukan melarang meraikan cinta. Nikah merupakan manifestasi cinta antara dua gender yang akan membentuk generasi yang mewarisi cinta. Sebarkan bahawa Islam agama cinta.
Noor Zahidah Myiddin
No comments:
Post a Comment