26.12.11

Aduhai Krismas di Malaysia...

'saya rasa saya menulis ini semua bukan untuk tahu,
tetapi ingin mencetus mahu, agar bergerak menuju mampu,
pencerahan bukanlah pada mengumpul pengetahuan,
tetapi kembara insan mencari tuhan.'
-Abu Saif

sumber gambar : tehranifaisal.blogspot.com


Sudah sekian lama memerhati, dari dahulu sampailah sekarang saya jelek melihat warga kota terutama di kota-kota besar seperti di KL asyek menyibukkan diri dengan Krismas. Wajah cekodok pisang bertopi Santa. Mata kecil Timur ber’ho ho ho’ di pasar-pasar raya. Apa yang diimport ke masyarakat kita sempena Krismas, bukanlah kesedaran untuk menghayati agama, tetapi kemiskinan jati diri warga kita yang terlalu kemaruk untuk menjadi Barat.

Apabila menonton televisyen, saya semakin jelek dengan gelagat ‘orang-orang urban‘ yang terdesak untuk menjadi Barat. Desperado!

Inilah hasil didikan Barat, seperti yang dimahukan oleh Thomas Babington Macaulay, pegawai pendidikan British yang merangka sistem pendidikan untuk negara-negara jajahan seperti India. Apa yang beliau mahukan ialah “Indian in blood and colour, with English in taste“. Apa yang saya penah baca lah.

Di Malaysia, kita ada ramai Melayu yang berdarah Melayu dan warna Melayu, Cina yang berdarah cina dan warna Cina, serta India yang berdarah India dan berwarna India, tetapi mempunyai selera pemikiran dan perasaan Barat. Golongan ini, sama ada yang mem’perang’kan rambut atau tidak, tidak pernah diterima sebagai Barat oleh Barat. Hanya mereka sahaja yang tergila-gilakan Barat. Membodohkan diri seolah-olah malu dirujuk sebagai Timur, sebagai Islam.

Malah saya fikir, keghairahan orang Malaysia hari ini untuk meninggalkan Islam dan beralih kepada agama Kristian, bukanlah kerana yakin dan penuh iman kepada syariat Bible. Tetapi gejala murtad yang berlaku adalah berpunca daripada usaha melepaskan diri dari ikatan agama, agar tidak dihukum dosa ketika menjamah arak dan zina. Mengapa? Kerana agama Kristian didakyahkan sebagai agama accomodative yang menawarkan pengampunan, yang memberikan ‘harapan’, sedangkan pelaku dosa itu, misalnya penzina, di mata Islam, adalah sasaran lontaran rejam batu dan sebatan.

Pada saya, gejala murtad dan pesta Krismas, adalah rentetan pseudo-religion dan bukannya agama sebenar. Gejala Muslim murtad adalah gelombang pemergian kelompok ini kepada pseudo-religion. Ia tidak meninggikan syiar Kristian, tetapi hanya alasan untuk bebas dari agama dan Tuhan. Malaysia dan perangainya melahirkan hamba hiburan dan pesta. Orang-orangnya mahu memalsukan semua agama dari soal iman dan pencarian terhadap hakikat kebenaran, kepada adat resam dan budaya semata-mata, adat resam yang tiada kena mengena dengan Timur, tiada kena mengena dengan Islam.

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu.[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Bila datang nya tanggal 25 Dis kadang-kadang saya terfikir, nasib Krismas dan Hari Raya tidak banyak berbeza. Kedua-duanya ditunggu oleh penganut agama masing-masing, tetapi bukan untuk membesarkan Tuhan. Krismas dan Hari Raya hanyalah sebuah pesta tahunan. Krismas dan Hari Raya adalah hari syahdu bukan pada muhasabah diri yang berdosa atau perpisahan dengan Ramadan yang meragut hari-hari keampunan. Krismas dan Hari Raya hanyalah hari rindu warga kota menebus dosa meninggalkan kekeluargaan dan persaudaraan selama ini.

Tangisan bukan tangisan iman. Senyum ketawa tiada kena mengena dengan Tuhan. Sama ada Kristian dengan Krismasnya, atau Muslim dengan Hari Rayanya, agama sudah diadatkan.
Wallahu’alam begitulah sedikit sebanyak coretan dari seorang Murabbi Kerdil..

Noor Aiman Bin Abd Aziz
YDP Sekretariat Sahabat PERKIM USM

No comments:

Post a Comment